Bot bawa 10 penumpang karam, di Jeram Giam, Song

Anggota SAR berusaha mencari seorang lagi mangsa yang masih hilang.
Oleh Juetila Ozzy
SONG, 30 Okt: Sebuah bot yang membawa 10 penumpang dilaporkan karam di Jeram Giam, di sini pada pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kejadian dikatakan berlaku pada jam 10 pagi dan hanya dilaporkan kepada bomba pada jam 2.54petang.
Katanya, sembilan daripada penumpang bot bagaimanapun dilaporkan selamat dan seorang lagi penumpang lelaki warga emas masih hilang.
“Bot tersebut bertolak dari Rumah Inggang, Tapang menuju ke arah Pekan Song.
“Setiba di jeram Giam, bot tersebut karam dan sembilan penumpangnya selamat, cuma seorang lagi masih hilang dibawa arus deras,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelasnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lakukan di kawasan hilir dari lokasi bot karam menyusuri sungai.
Operasi SAR yang turut disertai penduduk kampung dan beberapa agensi lain terpaksa ditangguhkan pada jam 6 petang akibat air sungai semakin surut.
Identiti mangsa yang hilang belum dapat dikenalpasti setakat petang ini. — DayakDaily.