Bomba kembalikan Kucing kepada pemiliknya setelah terperangkap di atas pokok kelapa

Pemilik memeluk erat kucing kesayangannya sebaik diserahkan oleh pihak Bomba - JBPNS

KUCHING: Gara-gara terlalu sayang kepada kucing peliharaannya seorang wanita telah bertindak memohon bantuan pihak Bomba dan Penyelamat untuk menurunkan kucingnya yang terperangkap di atas pokok kelapa.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Tiong Ling Hii berkata,pihaknya menerima panggilan berhubung kes berkenaan di Jalan Sky Garden, di sini, pada jam 5.43 petang.

“Setiba dilokasi kejadian pada jam 5.49 petang didapati seekor kucing telah terperangkap di atas pokok kelapa,” katanya di sini hari ini.

Katanya, kucing tersebut tidak dapat turun ke bawah dan perlu bantuan khidmat khas.

“Pihak Bomba bertindak dengan mendirikan tangga menyelamat dan disandarkan di batang pokok kelapa untuk kerja-kerja menyelamat kucing yang terperangkap itu.

“Sebaik berjaya diturunkan tanpa sebarang kecederaan kucing itu telah diserahkan kepada pemiliknya,” katanya.

Pemilik kucing itu ternyata memberi respon spontan apabila terus memeluk kucing kesayangan sebaik diserahkan oleh pihak Bomba. – dayakdaily.com

Pihak Bomba menggunakan tangga untuk menyelamat kucing yang terperangkap di atas pokok kelapa – JBPNS