Bomba bantu polis berkas penjenayah lari atas bumbung rumah

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.20 pagi itu, pihak polis terpaksa meminta bantuan anggota bomba untuk menangkap seorang lelaki yang bertindak melarikan diri dengan memanjat ke atas bumbung sebuah rumah selepas memecah masuk ke dalam kediaman tersebut. - JBPNS

MIRI – Bukan setakat memadam api dan melakukan kerja-kerja menyelamat, anggota bomba turut bertindak membantu pihak polis memberkas seorang penjenayah di sebuah rumah Kampung Lutong Batu di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.20 pagi itu, pihak polis terpaksa meminta bantuan anggota bomba untuk menangkap seorang lelaki yang bertindak melarikan diri dengan memanjat ke atas bumbung sebuah rumah selepas memecah masuk ke dalam kediaman tersebut.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 9.24 pagi.

Menurutnya, sejurus menerima laporan berhubung kejadian itu, sembilan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng bergegas ke lokasi untuk membantu pasukan polis menangkap suspek.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati suspek masih berada di atas bumbung rumah, namun sudah dikepung oleh pasukan polis.

“Pada mulanya, pihak polis mengarahkan suspek turun, namun penjenayah itu enggan berbuat demikian sebelum anggota bomba naik ke bumbung menggunakan tangga bomba dan menangkap suspek dibantu anggota polis,” katanya.

Mengulas lanjut, Poh Kiong memberitahu, anggota bomba kemudian mengikat tangan suspek dengan menggunakan sebelum dibawa turun menggunakan tangga.

Katanya, selepas memastikan keadaan selamat suspek kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan penahanan suspek.

“Suspek sudah dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut,” ujarnya. – dayakdaily.com