Bintulu digegarkan dengan letupan dari lori tangki minyak, pemandu rentung (video)

BINTULU – Penduduk di sekitar pusat bandar Bintulu digemparkan dengan tragedi letupan dan kebakaran yang membabitkan sebuah lori tangki minyak dengan lima buah kenderaan di persimpangan lampu isyarat Medan Central di sini hari ini.

Lebih tragis, pemandu lori yang membawa muatan diesel itu ditemui rentung selepas gagal keluar menyelamatkan diri daripada kenderaannya.

Tambah memilukan, mayat mangsa ditemui terperosok di bawah sebuah kenderaan jenis Toyota Fortuner dalam keadaan tersepit seolah-olah cuba merangkak menyelamatkan dirinya.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Zailanni Amit berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12.10 tengah hari itu, mangsa, Martin Joshua, 31, disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian.

Menurutnya, sebelum kejadian, mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan menuju ke arah Tanjung Batu dari Tanjung Kidurong di sini.

“Berdasarkan keterangan daripada saksi, mangsa dikatakan memandu kenderaan itu dengan agak laju sehingga dia gagal mengawal lori tersebut lalu melanggar pembahagi jalan.

“Impak pelanggaran itu mengakibatkan lori minyak tersebut terbalik lalu terbakar sebelum berlakunya letupan kuat yang menggegarkan kawasan di sekitar tempat kejadian,” katanya.

Mengulas lanjut, Zailanni memberitahu, kebakaran itu turut mengakibatkan lima kenderaan serta sebuah motosikal yang berada berhampiran lokasi kejadian terbakar.

Bagaimanapun katanya, kesemua pemandu dan penumpang kenderaan terbabit terselamat kerana mereka sempat keluarkan menyelamatkan diri.

“Mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Bintulu untuk proses pengecaman oleh ahli keluarganya,” katanya. – dayakdaily.com