Bertarung nyawa lebih 48 jam, murid tahun 1 maut dipercayai akibat dipukul


KAPIT – Selepas lebih 48 jam bertarung nyawa akibat kecederaan teruk pada bahagian kepalanya setelah dipercayai dipukul oleh seorang murid lelaki tahun enam pada 21 Ogos lalu, seorang murid tahun satu di sebuah sekolah rendah di Nanga Ibun di sini disahkan meninggal dunia petang semalam.

Murid Iban berusia tujuh tahun tersebut dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada pukul 3.30 petang di Hospital Sibu.

Menurut sumber polis, sebelum itu, mangsa dikatakan telah dipukul oleh seorang murid lelaki tahun enam pada sebelah malam pada 21 Ogos lalu di sebuah bilik asrama di sekolah rendah tersebut.

Katanya, mangsa kemudian ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh pembantu pengurusan asrama semasa mengejutkan pelajar asrama kira-kira pukul 5.30 pagi pada 22 Ogos lalu.

“Kanak-kanak malang itu kemudian dirujuk ke Klinik Kesihatan Nanga Merit dan dibawa ke Hospital Kapit sebelum dirujuk ke Hospital Sibu untuk pemeriksaan lanjut.


“Bagaimanapun selepas bertarung nyawa lebih daripada 48 jam, mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 3.30 petang (24 Ogos) di Hospital Sibu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Amer Awal ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes tersebut.

Jelas beliau, bapa mangsa yang berusia 35 tahun telah membuat laporan polis berhubung kes itu di Sibu pada pukul 10.50 malam pada 22 Ogos lalu.

“Siasatan awal mendapati suspek telah memukul dan membelasah mangsa, malah bertindak menutup mulut mangsa dengan menggunakan selimut.

“Satu pasukan siasatan khas yang diketuai oleh Ketua Polis Daerah Kapit, DSP Freddy Bian akan ditubuhkan bagi menyiasat kes tersebut,” katanya.

Amer menambah, polis sudah menahan suspek dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Namun ujarnya, suspek sudah dibebaskan dengan jaminan polis kerana dia akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada September depan. – dayakdaily.com