Belia Dayak dinasihat tidak terpengaruh perkara negatif

Joseph Salang(dua kanan) menyaksikan demontrasi memadam api yang dianjurkan pihak Bomba kepada penduduk rumah panjang - dayakdaily.com

JULAU: Golongan belia masyarakat Dayak di negeri ini dinasihatkan agar terus menyokong kerajaan dan tidak terpengaruh dengan tindak-tanduk negatif golongan yang tidak bertanggungjawab.

Ahli Parlimen Julau, Datuk Joseph Salang Gandum berkata, kerajaan akan terus melaksanakan program dan aktiviti pembangunan dan kemakmuran kepada rakyat khususnya golongan belia.

“Kerajaan memahami hasrat dan aspirasi golongan belia dan akan terus memberikan peluang dan ruang kondusif untuk memajukan diri,” katanya di program “Negaraku @Komuniti” Jabatan Penerangan Malaysia bagi kawasan Parlimen Julau di Rumah Banyang Jam, Nanga Lijan sempena sambutan Hari Kebangsaan, di sini semalam.

Katanya, kerajaan akan terus memberikan komitmen yang tinggi untuk pembangunan potensi belia yang merupakan pelapis negara masa hadapan.

“Golongan belia harus bersama-sama di belakang kerajaan agar program pembangunan untuk rakyat dapat berjalan dengan lancar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan golongan belia Dayak supaya tidak menjadikan media sosial untuk menzahirkan rasa tidak puas hati kepada keraajaan.

“Kita mempunyai saluran untuk menyelesaikan setiap permasalahan menerusi perbincangan dan tidak ada keperluan untuk menyebarkannya di media sosial,” katanya.

Ahli Parlimen Julau itu berkata, kerajaan mempunyai agenda berterusan untuk membawa pembangunan berterusan demi kesejahteraan rakyat.

“Hasil program pembangunan kerajaan kawasan ini turut mengalami transformasi dari semasa ke semasa walaupun ia masih belum mencukupi jika dibandingkan dengan masyarakat dibandar,” katanya.

Katanya, pada masa kira-kira 70 peratus kawasan Parlimen Julau mempunyai liputan selular, selain kemudahan jalan raya, bekalan elektrik dan air .

Pada majlis itu beliau turut menyerahkan geran projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah RM877,500 kepada 53 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan kelab dalam parlimen Julau.-dayakdaily.com