Bekas Menteri Muda Hal Ehwal Islam Sarawak meninggal dunia

Bekas Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman meninggalkan seorang balu, Datin Noraini Hussin serta tiga orang anak.

KUCHING – Bekas Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Ir. Daud Abdul Rahman, 66, meninggal dunia di Pusat Perubatan Timberland di sini petang tadi.

Allahyarham yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong menghembuskan nafasnya yang terakhir pada pukul 4.10 petang.

Bekas Setiausaha Peribadinya, Mosbi Zaidi ketika dihubungi mengesahkan pemergian Allahyarham.

“Allahyarham telah dimasukkan ke pusat perubatan pakar itu sejak beberapa hari lalu selepas mengadu sakit perut.

“Bagaimanapun, tahap kesihatan arwah semakin kritikal apabila beliau turut mengalami masalah jantung,” katanya.

Jenayah Allahyarham sudah dibawa ke kediamannya di Laruh Skim, Jalan Matang, Kuching untuk urusan pengebumian.

Difahamkan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg dijangka memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham pada pukul 10 malam ini.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Noraini Hussin serta tiga orang anak. –
dayakdaily.com