BCF boleh jadi platform dedah dan didik tentang perpaduan

Nanta (duduk, dua dari kanan) menyertai upacara miring sebelum perasmian Pentas Kebudayaan Dayak Borneo di Dataran Bandar Sibu. -dayakdaily.com

SIBU, 23 Julai: Pesta Kebudayaan Borneo (BCF) 2017 yang dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Sibu boleh dijadikan platform bagi memberi pendedahan dan pendidikan tentang perpaduan penduduk pelbagai kaum dan agama di Sarawak.

Anggota Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi berkata pesta bagi menunjukkan kebudayaan masyarakat setempat kepada pelancong asing itu menunjukkan bahawa rakyat boleh hidup bersatu padu dan mengamalkan sikap toleransi antara satu sama lain.

“Inilah tempat yang paling tepat untuk memberikan pendedahan dan pendidikan kepada golongan belia khususnya yang belum memahami pentingnya perpaduan dalam kalangan masyarakat kita,” katanya.

Perpaduan dan sikap toleransi antara kaum di Sarawak diterima oleh pemimpin dari negeri-negeri lain di negara ini yang mengakui secara terbuka mahu mencontohi tauladan yang ditunjukkan rakyat negeri itu.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah berkata demikian semasa merasmikan Pentas Kebudayaan Dayak di tapak BCF 2017 di Dataran Bandar Sibu malam tadi.

Pesta kali ke-14 itu bermula dari 20 hingga 29 Julai menampilkan pelbagai pertunjukan kebudayaan masyarakat Sarawak selain persembahan kebudayaan oleh kumpulan jemputan dari luar negeri.-dayakdaily.com