Bapa disyaki dera anak sendiri ditahan polis

LUNDU – Perbuatan tidak berperikemanusiaan seorang bapa yang disyaki mendera anak perempuannya sehingga mendatangkan kecederaan kepada kanak-kanak itu akhirnya terbalas apabila lelaki tersebut ditahan polis di sebuah rumah di Kampung Opek di sini hari ini.

Suspek berusia 18 tahun yang juga merupakan bapa kepada kanak-kanak berusia setahun dan 11 bulan itu ditahan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu kira-kira pukul 10.10 pagi.

Ketua Polis Daerah Lundu, DSP Wong Chee Keong berkata, tangkapan ke atas suspek dilakukan susulan laporan polis yang diterima daripada pegawai perubatan dari Hospital Lundu, pada pukul 10.41 malam tadi.

Menurutnya, sebelum itu, kanak-kanak malang berkenaan telah dibawa oleh kedua ibu bapanya ke hospital untuk mendapat rawatan pada pukul 7.30 malam.

“Pegawai perubatan yang memeriksa keadaan kanak-kanak itu kemudian mengesyaki terdapat unsur-unsur ‘keganasan’ terhadap mangsa.

“Berdasarkan pemeriksaan awal, kanak-kanak tersebut didapati mengalami kecederaan yang sangat serius iaitu lebam pada dahi, kedua-dua belah mata, kaki, lutut, pipi, serta mukanya termasuk terdapat kesan cubitan pada badan mangsa.

“Imbasan X-ray juga mendapati terdapat kesan patah lama pada lengan sebelah kanan, kesan patah baru pada bahagian berhampiran pergelangan tangan sebelah kanan dan kesan patah baru pada paha sebelah kanan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Mengulas lanjut, Wong memberitahu, mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan susulan.

Katanya, mangsa kini ditempatkan di Unit Ortopedik HUS dan keadaannya dilaporkan stabil.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001,” ujarnya lagi. -dayakdaily.com