Bagai cacing kepanasan, polis terus gempur kegiatan judi haram

Polis telah menahan 50 individu menerusi 20 serbuan di sembilan daerah di negeri ini bermula 12 hingga 18 Jun lalu. - PDRM

KUCHING – Bagaikan cacing kepanasan.

Itulah yang dapat disimpulkan terhadap para ejen menjual loteri haram dan pemilik premis judi dalam talian apabila polis terus menggempur dan menahan mereka yang dipercayai terlibat dalam kegiatan perjudian tersebut.

Tidak terlepas, kaki judi yang gemar berjudi sabung ayam turut antara yang digempur.

Terbaharu, polis telah menahan 50 individu menerusi 20 serbuan di sembilan daerah di negeri ini bermula 12 hingga 18 Jun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, lebih mendukacitakan terdapat golongan remaja dan warga emas turut ditahan dalam serbuan tersebut.

Menurutnya, kesemua kaki judi yang ditahan itu berusia antara 16 hingga 63 tahun. Daripada tangkapan itu, 38 individu merupakan lelaki, manakala selebihnya wanita.

“Hasil serbuan, polis turut merampas wang tunai sebanyak RM11,352 selain pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk perjudian haram,” katanya di sini hari ini.

Dev memberitahu, serbuan yang dijalankan itu melibatkan daerah Padawan, Sibu, Limbang, Sri Aman, Bintulu, Sarikei, Kanowit dan Kota Samarahan.

Katanya, sembilan serbuan telah dilakukan di sembilan lot kedai, kedai kopi (7), tempat awam (4) termasuk di kaki-kaki lima.

“Kita juga akan terus melakukan operasi membanteras perjudian di negeri ini dalam usaha menghapuskan sepenuhnya perjudian haram.

“Kesemua kaki judi yang ditahan akan disiasat mengikut Akta Perjudian Rumah Terbuka 1953 dan Ordinan Mencegah Kezaliman Terhadap Haiwan 1962,” ujarnya lagi. – dayakdaily.com