Awas panggilan palsu dakwa diri sebagai pegawai atau anggota polis trafik

KUCHING – Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu hari ini meminta rakyat di negeri ini berwaspada apabila menerima panggilan telefon daripada mana-mana pihak yang mengaku mereka polis.

Menurut beliau, ini adalah kerana wujudnya sindiket yang menyamar sebagai pegawai atau anggota polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dan memberitahu mangsa terlibat dengan kemalangan langgar lari.

“Pemanggil juga mengatakan bahawa mangsa yang dilanggar sudah meninggal dunia, malah kenderaan yang digunakan mangsa adalah kereta jenis BMW yang disewa.

“Kebanyakkan mangsa yang menerima panggilan ini tidak mempunyai kereta jenis BMW. Susulan itu, kami telah menerima banyak aduan dan panggilan daripada orang awam berkenaan panggilan palsu itu,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Alexson memberitahu, sebagai peringatan, mana-mana orang awam yang menerima panggilan palsu itu dinasihati agar tidak terpedaya dengan panggilan tersebut yang cuba memburuk serta menjatuhkan nama baik Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya JSPT Sarawak.

Tegasnya, pihak PDRM atau JSPT tidak pernah meminta apa-apa bayaran untuk menyelesaikan kes kemalangan yang berlaku kecuali bayaran untuk salinan dokumen atas permohonan pengadu dan setiap bayaran itu dikeluarkan resit rasmi kerajaan.

“Jadi, orang ramai dinasihatkan agar tidak mendedahkan maklumat-maklumat peribadi seperti maklumat kad pengenalan, nombor kad ATM, nombor akuan bank dan alamat kediaman.

“Jangan sesekali percaya panggilan-panggilan daripada orang yang tidak dikenali,” tegas beliau lagi.

Sila hubungi JSPT di talian 082-274018/274264/274259/221127 atau mana-mana balai polis berhampiran sekiranya menerima panggulan yang meragukan.- dayakdaily.com