APMM Sarawak Tahan 30 Nelayan Vietnam, ‘Rompak’ Hasil Laut Negara

Kesemua nelayan Vietnam yang ditahan tersebut berusia antara 17 hingga 50 tahun - dayakdaily.com

KUCHING: Taktik empat buah vesel nelayan Vietnam mengibarkan bendera Jalur Gemilang bagi mengaburi pihak berkuasa ketika melakukan kerja-kerja menangkap hasil laut di perairan negara ini gagal apabila mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sarawak di Perairan Tanjung Sirik, Bintulu pada 14 Mei lalu.

Pengarah APMM Wilayah Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Ismaili Bujang Pit berkata, kesemua 30 awak-awak termasuk tekong vesel asing itu ditahan ketika sedang memunggah pelbagai jenis ikan pada pukul 5.30 petang.

Menurutnya, kesemua nelayan Vietnam yang ditahan tersebut berusia antara 17 hingga 50 tahun.

“Siasatan awal mendapati kumpulan nelayan asing itu aktif ‘merompak’ hasil laut di perairan negara ini sejak lebih dua bulan lalu.

“Mereka turut menggunakan nombor pendaftaran vesel tempatan bagi mengelak aktiviti haram mereka dikesan pihak berkuasa,” katanya pada sidang akhbar di Jeti Kompleks APMM, Muara Tebas di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ismaili memberitahu, pemeriksaan ke atas kesemua vesel itu menemui kira-kira 9,000 kilogram (kg) hasil laut yang dianggarkan sebanyak RM72,000.

Tambahnya, APMM turut merampas kesemua vesel tersebut dengan nilai keseluruhannya dianggarkan berjumlah RM25 juta.

“Semua nelayan Vietnam itu kini ditahan kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985,” katanya. – dayakdaily.com