APMM Sarawak bakal miliki dua kapal pengangkut induk, tingkatkan operasi di laut

APMM berjaya menahan dua bot nelayan Vietnam serta menangkap 15 awak-awak serta tekong bot tersebut di 120 batu nautika utara Tanjung Po pada 31 Mei lalu. Kesemua warga Vietnam berusia antara 19 hingga 47 tahun itu akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985. - dayakdaily.com

KUCHING – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sarawak bakal memiliki dua kapal pengangkut induk bagi mengekang pencerobohan nelayan asing di perairan negeri ini.

Pengarah APMM Wilayah Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Ismaili Bujang Pit berkata, kerajaan mempunyai dua pilihan untuk mendapatkan kapal pengangkut induk tersebut iaitu dengan membiayai pembinaannya dengan harga kira-kira RM10 juta sebuah atau menyewa kapal jenis sama dari syarikat minyak dan gas dengan harga lebih RM4 juta sebuah bagi tempoh setahun.

Bagaimanapun katanya, perkara tersebut masih lagi dalam peringkat perbincangan bersama agensi berkaitan termasuk Unit Perancang Ekonomi (EPU) bagi penelitian bajet.

“Namun, sekiranya cadangan yang dikemukakan pada April lalu diluluskan, kita memerlukan peruntukan kira-kira RM18 juta untuk membina atau menyewa dua kapal pengangkut serta membiayai kos operasinya kelak.

“Penggunaan kapal pengangkut induk yang berperanan sebagai pusat kawalan operasi mini di laut itu penting bagi meningkatkan kecekapan operasi di sekitar kawasan perairan Sarawak,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) di sini hari ini.

Ismaili menambah, cadangan penggunaan kapal pengangkut induk untuk meningkatkan operasi itu merupakan yang pertama kali dikemukakan di negara ini.

Jelasnya, antara kelebihan kapal pengangkut tersebut adalah mampu bertahan di laut selama 20 hari kerana boleh membawa kapasiti minyak sebanyak 550 tan dan air (199.9 tan) bagi kegunaan anggotanya semasa menjalankan operasi.

“Ketika ini, kapal yang dimiliki oleh APMM hanya boleh berada di laut untuk menjalankan operasi pemantauan selama enam hari disebabkan kapasiti minyak dibawa adalah terhad iaitu 60,000 liter sahaja.

“Kapal pengangkut itu juga mempunyai kelajuan 10 knot dan memiliki sistem radar yang canggih selain boleh distesenkan di mana-mana sektor yang strategik,” ujarnya lagi.

Sambil menambah, kapal pengangkut induk berkenaan juga mampu membawa 10 aset operasi di laut iaitu empat buah kapal serta enam bot kecil dalam satu-satu masa.

“Perlu diingatkan, keluasan perairan Sarawak adalah seluas 239,000 kilometer persegi atau meliputi kira-kira 40 peratus daripada 660,000 kilometer persegi keseluruhan perairan di Malaysia.

“Jadi, dengan adanya kapal pengangkut kelak, ia pasti dapat memberi tambah nilai kepada operasi kita di sekitar perairan negeri ini,” ujarnya lagi.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya berjaya menahan dua bot nelayan Vietnam serta menangkap 15 awak-awak serta tekong bot tersebut di 120 batu nautika utara Tanjung Po dekat sini pada 31 Mei lalu.

Katanya, sebanyak 2,000 kilogram ikan pelbagai jenis bernilai kira-kira RM6,000 turut dirampas dari dua bot nelayan berkenaan.

“Kesemua warga Vietnam berusia antara 19 hingga 47 tahun itu akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya. – dayakdaily.com