APMM Miri patah cubaan nelayan Vietnam ceroboh perairan negara

Bot nelayan Vietnam yang ditahan kerana menceroboh perairan negara - APMM

MIRI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Miri berjaya mematahkan cubaan sekumpulan nelayan Vietnam yang cuba menceroboh perairan negara ini dengan menggunakan nombor pendaftaran vesel palsu, malam Khamis lalu.

Kapal peronda APMM melalui Ops Permai mengesan bot nelayan yang pertama pada jam 11.18 malam diikuti bot nelayan yang kedua pada jam 11.30 malam pada hari yang sama.

Dua bot yang dinaiki 26 nelayan asing tersebut berjaya ditahan pada kedudukan 127 batu nautika dari muara Sungai Miri.

Timbalan Pengarah Operasi APMM Miri, Komander Maritim Mohd Hambali Yaakup berkata,
sebelum ditahan kedua-dua bot nelayan asing dipercayai sedang melakukan penangkapan ikan secara tunda ganding.

“Hasil pemeriksaan mendapati nombor pendaftaran vesel kedua-dua bot nelayan tersebut adalah palsu dan bukan didaftarkan di negara ini sebaliknya berdaftar di Vietnam, ” katanya dalam satu kenyataan media.

Katanya, nelayan tersebut melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di perairan negara tanpa kebenaran.

“Kita juga menyita hasil tangkapan dua bot nelayan terbabit seberat 70 tan dan nilai pasaran dianggarkan berjumlah RM500,00,” katanya.

Katanya,ke semua nelayan asing itu berusia 17 hingga 35 tahun termasuk tiga daripadanya tidak mempunyai dokumen pengenalan.

“Kesemua mereka dan bot tersebut dibawa ke jeti Pusat Tahanan Vesel (PTV) Pulau Melayu untuk siasatan lanjut,” katanya. – dayakdaily.com