Anggota tentera maut, motosikal bertembung dengan lori

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, mangsa, Dicky Glen Tony, 22, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepalanya. - PDRM

SERIAN – Seorang anggota tentera maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 7, Jalan Serian-Tebedu di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, mangsa, Dicky Glen Tony, 22, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepalanya.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, DSP Bingkok John berkata, mangsa yang berasal dari Kampung Mawang Tahup di sini dikatakan bertugas di Kem Terendak, Melaka.

Menurutnya, sebelum nahas itu, mangsa yang difahamkan masih bercuti di kampung halamannya sedang dalam perjalanan dari arah Tebedu menuju ke pusat bandar Serian.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggangya tiba-tiba hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.

“Malang menimpa mangsa apabila sebuah lori jenis Isuzu yang kebetulan berada di laluan bertentangan gagal mengelak lalu melanggar motosikal mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Bingkok memberitahu, pemandu lori itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan polis sudah mengambil keterangan daripada lelaki tersebut.

Katanya, siasatan awal polis mendapati keadaan jalan di lokasi adalah lurus dan cuaca adalah baik semasa kejadian.

“Mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Serian untuk tindakan lanjut sebelum dituntut oleh ahli keluarganya.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – dayakdaily.com