Anggota Polis ditahan kerana didakwa melakukan serangan seksual

Anggota Polis ditahan kerana didakwa melakukan serangan seksual

KUCHING: Padah menimpa seorang anggota polis apabila dia ditahan berhubung dakwaan melakukan serangan seksual terhadap seorang remaja lelaki berusia 14 tahun baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Datuk Dev Kumar berkata suspek yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Sarawak itu ditahan di sebuah rumah di Jalan Pinang Jawa sekitar jam 5.30 petang semalam.

Menurutnya, tangkapan tersebut adalah susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa di Balai Polis Batu Kawah sekitar tengah hari semalam.

“Laporan mangsa mengatakan kejadian berlaku pada 4 September lalu apabila suspek datang ke rumahnya di Jalan Batu Kawah dan menawarkan diri untuk menghantar mangsa ke kedai kakaknya.

“Mangsa mulanya tidak mengesyaki apa-apa memandangkan suspek juga adalah ‘family friend’, sehinggalah dia dibawa ke satu lokasi tersembunyi di Batu Kawah dan kemudian melakukan serangan seksual terhadap dirinya sekitar jam 1 petang.

“Mangsa bagaimanapun hanya membuat laporan pada tengah hari, hari ini(semalam),” kata Dev dalam kenyataan medianya, semalam.

Suspek telah ditahan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan yang diketuai ASP Sofian Abu Bakar.

Kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.