Anak lelaki anggota PPM maut, Toyota Hilux yang dinaiki terlibat dalam kemalangan

BINTULU – Perjalanan pulang sebuah keluarga anggota Pasukan Polis Marin (PPM) dengan menaiki Toyota Hilux berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 23, Jalan Pesisir Bintulu-Miri di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, mangsa, Kenneth Clyde Angkin Jeffery, 12, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, DSP Bingkok John berkata, sebelum kejadian itu, enam sekeluarga tersebut dikatakan dalam perjalanan dari arah Miri ke Bintulu.

Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan yang dipandu Desmond Dayat Beti, 25, dikatakan hilang kawalan ketika cuba mengelak daripada merempuh sebuah lori yang menukar laluan dari kiri ke kanan secara tiba-tiba.

“Berikutan itu, Toyota Hilux yang dinaiki mereka terbabas di bahu jalan lalu terbalik.

“Impak kemalangan tersebut mengakibatkan mangsa maut di lokasi kejadian. Anggota PPM itu pula dilaporkan patah kaki manakala penumpang yang lain cedera,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Bingkok memberitahu, siasatan awal mendapati sebuah lori yang menukar laluan berkenaan tidak berhenti dan gagal dikenal pasti nombor pendaftarannya.

Katanya, cuaca adalah baik dan jalan kering semasa kejadian berlaku.

“Mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Bintulu untuk dibedah siasat.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. -dayakdaily.com