Anak dirogol kerana Ibu taksub bomoh

SIBU: Kerana percayakan rawatan seorang bomoh, seorang ibu telah menyebabkan anak gadisnya menjadi mangsa rogol di Sibu Jaya Isnin lalu.

Wanita itu sendiri yang sudah berubat beberapa kali dengan pengamal perubatan tradisional berusia 29 tahun yang dipercayai berasal dari Indonesia itu telah meminta lelaki itu untuk mengubat anaknya yang mengadu sakit perut.

Didatangkan dari Tatau, bomoh itu telah mengadakan upacara merawat gadis berusia 20 tahun itu di ruang tamu sebuah rumah di Sibu Jaya di hadapan ibu dan ibu saudaranya pada 12 tengah malam.

Dengan hanya berkain sarung, gadis itu yang dalam keadaan baring pada mulanya diurut di bahagian perut.

Namun, tidak lama selepas itu bomoh itu bertindak memasukkan jari ke dalam kemaluan mangsa bagi mengesan punca sakitnya.

Bomoh itu kemudian mendakwa bahawa mangsa sudah tidak mempunyai dara dan dia perlu mengeluarkan cairan kotor dari kemaluan mangsa yang kononnya punca sakit tersebut.

Mangsa kemudian dibawa ke bilik mandi tanpa ditemani ibu atau ibu saudaranya di mana di situ bomoh tersebut mengarahkannya mencangkung sebelum sekali lagi memasukkan salah satu jarinya ke dalam kemaluan mangsa.

Mangsa yang takut dan tidak melawan kemudiannya dirogol di bilik mandi itu.

Selesai “rawatan”di bilik mandi itu, bomoh keji itu kemudiannya bermalam di rumah tersebut sebelum pulang ke Tatau dengan menaiki bas.

Bagaimanapun, mangsa masih lagi mengalami sakit perut dan dibawa ke Hospital Sibu.

Pada 12.45 tengah hari semalam, satu laporan polis dibuat menyatakan bahawa mangsa telah dirogol.

“Bertindak di atas laporan itu, polis IPD Tatau telah menahan seorang warga asing yang bekerja sebagai penjual sayur pada pagi hari ini. Saspek sedang dibawa ke Sibu untuk disoal siasat,” kata Ketua Polis Daerah Sibu ACP Saiful Bahari Abdullah.

Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 376 dan Seksyen 377 CA Kanun Keseksaan. – dayakdaily.com