Aktiviti ‘nakal’ di hotel bajet diperangi

Pesuruhjaya Polis Sarawak,Datuk Amer Awal melancarkan unit rondaan berbasikal polis di IPD Kuching.-dayakdaily.com

KUCHING – Operasi memerangi aktiviti ‘nakal’ di hotel bajet di Sarawak akan diperhebatkan bagi memastikan tempat penginapan tersebut tidak dijadikan ‘sarang’ kumpulan penjenayah melakukan kegiatan jenayah mereka.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Amer Awal berkata, berdasarkan risikan polis, kumpulan penjenayah lebih gemar memilih hotel-hotel bajet untuk melakukan aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Menurutnya, para pengusaha hotel bajet di negeri ini juga menyambut baik usaha yang dilakukan pihak polis dalam usaha memerangi sebarang kegiatan jenayah di hotel yang dimiliki mereka.

“Operasi pemeriksaan di hotel bajet ini dilakukan susulan terdapat kes hotel bajet itu dijadikan sarang persembunyian penjenayah semasa melarikan diri daripada pihak polis.

“Kumpulan itu (penjenayah) lebih suka bersembunyi di hotel bajet kerana sewa yang murah berbanding hotel bertaraf bintang memandangkan kebiasaannya mereka
tidak menginap lama di situ,” katanya semasa sidang media selepas melakukan lawatan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Pahlawan Mohd. Dzuraidi Ibrahim, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Sarawak, Senior Asisten Komisioner, Shafie Ismail dan Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner, Abang Ahmad Abang Julai.

Sementara itu, beliau memberitahu, polis Sarawak juga melancarkan Unit Rondaan Berbasikal dalam usaha menangani jenayah khususnya di pusat bandar raya ini.

Jelasnya, unit berkenaan juga akan memantau keselamatan orang awam terutama para pelancong di kawasan Tebingan Kuching serta hotel-hotel berhampiran di sini.

“Pasukan yang dianggotai 20 anggota polis ini akan melakukan rondaan bermula pukul 3 hingga 6 petang di beberapa lokasi tumpuan orang awam dan pelancong sekitar bandar raya ini,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Amer berkata, pihaknya sudah bersiap sedia dari segi logistik, aset komunikasi serta keanggotaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

“Kita sememangnya sudah bersiap sedia, kita hanya tunggu isyarat bila pilihan raya (PRU-14) itu akan diadakan,” katanya. – dayakdaily.com