AirAsia rai ketibaan penerbangan sulung dari Pontianak ke Kuching

AirAsia, meraikan ketibaan penerbangan pertamanya dari Pontianak, Indonesia ke Kuching di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) hari ini. - dayakdaily.com

KUCHING – Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia, meraikan ketibaan penerbangan pertamanya dari Pontianak, Indonesia ke Kuching di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini hari ini.

Penerbangan sulung itu tiba di LTAK pada pukul 1.50 tengah hari dan disambut oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Muda Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin, Setiausaha Tetap, Kementerian Pelancongan Sarawak, Datu Ik Pahon Joyik, Pengerusi, Lembaga Pelancongan Sarawak, Datuk Abdul Wahab Aziz, Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Kuching, Bapak Muhammad Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Aireen Omar.

Para tetamu yang turut serta dalam penerbangan pertama tersebut termasuklah Pengurus Besar Lapangan Terbang Antarabangsa Supadio Pontianak, Bayuh Iswantoro serta sekumpulan media dari Indonesia.

Aireen berkata, laluan baharu Pontianak-Kuching-Pontianak itu akan beroperasi dengan kekerapan tujuh kali seminggu.

Menurutnya, pihak AirAsia amat teruja untuk meraikan dan menyambut penerbangan sulung kami dari Pontianak ke Kuching.

“Kami yakin bahawa ketibaan para pelancong dari Indonesia ke Sarawak akan terus bertambah melalui pembukaan laluan baharu ini selari dengan usaha negeri Sarawak untuk menarik lima juta orang pelancong pada tahun ini.

“Dalam pada itu, para penduduk Sarawak pula boleh menikmati keindahan ‘Kota Khatulistiwa’ tersebut dengan penerbangan terus dan tambang rendah,” katanya di sini hari ini.

Aireen menambah, laluan baharu dari Kuching berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif dan komitmen AirAsia untuk menjadikan Sarawak sebagai sebuah destinasi pelancongan terkemuka dan hab serantau bagi para pelancong yang melawat Borneo.

“AirAsia percaya negeri ini berpotensi untuk berkembang lebih maju dan kami kini meninjau laluan hubungan terus dari negara-negara ASEAN, China, Indochina, Asia Utara, Australia dan banyak lagi,” ujarnya lagi.

Bagi meraikan laluan baharu tersebut, AirAsia menawarkan promosi tambang termasuk semua dari serendah RM89* sehala di airasia.com mulai sekarang hingga 18 Jun 2017 untuk perjalanan dari 5 Jun 2017 hingga 14 Januari 2018.

Harga promosi tersebut juga boleh didapati dengan menempah penerbangan melalui aplikasi mudah alih AirAsia untuk peranti iPhone dan Android, serta di laman mudah alih mobile.airasia.com.

Sebagai ibu kota Kalimantan Barat, Indonesia, Pontianak juga dikenali sebagai Kota Khatulistiwa (Equator City) kerana ia merupakan satu-satunya bandar di dunia yang terletak pada titik garisan Khatulistiwa, membahagikan hemisfera utara dan selatan.

Ia juga merupakan sebuah kota di mana terletaknya Tugu Khatulistiwa yang terkenal dan menyaksikan waktu tanpa bayang-bayang dua kali setahun.

Pontianak juga terkenal dengan restoran terapung di sepanjang 1,143 kilometer Sungai Kapuas, sungai terpenting di kawasan itu.

Selain itu, penduduk majmuk menjadikan bandar itu sebuah destinasi makanan di mana para pelancong boleh mencuba minuman istimewa Pontianak; campuran aloe vera dan sirap, makanan jalanan yang enak, dan menikmati makanan laut segar di Pondok Makanan Laut terkenal “Abang Kepiting”, di mana pengunjung boleh memilih pelbagai jenis makanan laut untuk dimasak dalam pelbagai cara.

AirAsia kini terbang ke sepuluh destinasi dari Kuching dengan sejumlah 468 penerbangan mingguan dua hala. Destinasi tersebut adalah Miri, Sibu, Bintulu, Kota Kinabalu, Johor Bahru, Kota Bharu, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Singapura dan Pontianak. – dayakdaily.com