Ahli perniagaan bergelar Datuk ditemui mati

Mangsa yang dikenal pasti sebagai Lai, 47, merupakan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk ditemui dalam keadaan terbaring di dalam bilik pejabatnya kira-kira pukul 3.30 petang. - PDRM

KUCHING – Seorang pekerja tergamam apabila menemui majikannya dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam pejabatnya di Bangunan Singh, Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce di sini semalam.

Mangsa yang dikenal pasti sebagai Lai, 47, merupakan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk.

Lelaki malang itu ditemui dalam keadaan terbaring di dalam bilik pejabatnya kira-kira pukul 3.30 petang.

Pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian kemudian mengesahkan kematian mangsa.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.

Katanya, sepasukan anggota polis forensik turut berada di lokasi kejadian untuk melakukan siasatan lanjut.

“Berdasarkan keterangan pekerja itu, dia yang masuk ke bilik majikannya terkejut apabila melihat mangsa dalam keadaan terbaring dan sudah tidak bernyawa lagi.

“Panik melihat situasi itu, pekerja terbabit kemudian memaklumkan kejadian tersebut kepada pengawal keselamatan sebelum menghubungi pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, siasatan di lokasi kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah ditemui.

Jelasnya, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Umum Sarawak di sini untuk dibedah siasat.

“Setakat ini, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – dayakdaily.com