Agensi Pembangunan Tanah Tinggi ditubuhkan – Abang Johari

MARUDI – Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg semalam mengumumkan penubuhan Agensi Pembangunan Tanah Tinggi atau ‘Highland Development Agency’ (HDA).

Menurut beliau, tujuan penubuhan HDA itu adalah untuk mengenalpasti potensi yang boleh memberi impak pembangunan di kawasan-kawasan tanah tinggi di Sarawak terutamanya melibatkan kawasan di sekitar Baram.

Jelasnya, HDA juga bertanggungjawab untuk merancang bajet bagi setiap projek di bawah
Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) yang akan diterajui oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan dibantu oleh semua wakil rakyat di kawasan Baram.

“HDA ditugaskan untuk merancang secara holistik pelan induk pembangunan yang boleh membantu masyarakat di kawasan tanah tinggi dari segi ekonomi dan sosial,” katanya ketika berucap merasmikan Baram Regata 2017 di Marudi semalam.

Turut hadir, Menteri Muda Kerajaan Tempatan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Baram Regata, Datu Dr. Penguang Manggil.

Dalam perkembangan sama, Abang Johari memberitahu, dari segi pelancongan pula, HDA dipertanggungjawabkan untuk memastikan Marudi mempunyai beberapa hotel penginapan yang bertaraf dua hingga tiga bintang.

Ini kerana ujar beliau, adalah bagi merancakkan industri pelancongan selain memberi peluang pekerjaan kepada golongan muda di Baram.

“Antara lain, salah satu peranan HDA nanti adalah untuk menaiktaraf sekolah-sekolah daif di kawasan Baram.

“Ia termasuk sekolah-sekolah menengah yang belum mempunyai makmal sains ataupun makmal yang serba kekurangan dari segi fasilitinya,” katanya lagi.

Sementara itu, Abang Johari berkata, Yayasan Sarawak akan memperuntukkan dana biasiswa mencecah RM1 juta pada tahun depan.

Katanya, peruntukan itu disediakan pembiayaan biasiswa dan pinjaman biasiswa bagi anak-anak Sarawak yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda, ijazah sarjana mahupun kedoktoran.

“Pengajian yang berkaitan dengan bio-diversiti akan diberikan keutamaan, maka saya ingin mengalakkan anak-anak masyarakat Baram untuk menceburi bidang ini kerana bio-diversiti berpotensi untuk dibangunkan di kawasan Baram adalah amat luas,” ujar beliau.

Berkaitan dengan Baram Regata 2017, Abang Johari berasa amat bangga atas usaha dan kejayaan pemimpin-pemimpin tempatan dalam menjayakan temasya itu tahun ini.

“Saya juga dapat melihat tali persaudaraan dan persahabatan yang erat dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Baram,” katanya.

Sambil menambah, beliau percaya Baram Regata yang telah menjangkau usia 118 tahun merupakan platform yang terbaik kepada rakyat tempatan khususnya masyarakat Baram bagi memaparkan budaya dan tradisi mereka kepada pengunjung dan pelancong luar negara.
-dayakdaily.com