Abang Johari arah pihak berkaitan ‘gagal’ dalam pengurusan kewangan beri penjelasan segera

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg

KUCHING – Semua kementerian, jabatan serta agensi kerajaan negeri ini yang ‘gagal’ dalam menguruskan aspek kewangan masing-masing dengan cekap seperti yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2016 diminta memberi penjelasan berhubung perkara itu.

Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg mengakui agak kecewa kerana terdapat pihak yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan terutamanya melibatkan pengurusan kewangan mereka.

Bagaimanapun jelasnya, kerajaan negeri tetap positif dengan teguran daripada Laporan Ketua Audit Negara 2016 itu dengan segera melakukan penambahbaikan dalam aspek pengurusan kewangan termasuk dari segi urusan pentadbiran awam di negeri ini.

“Tetapi, saya tetap gembira kerana kerajaan negeri turut mendapat pengiktirafan menerusi amalan sistem pengurusan kewangan yang cekap dalam laporan sama.

“Buat masa ini, saya hanya meneliti laporan berkaitan pencemaran air melibatkan 18 batang sungai yang membabitkan kawasan tadahan air.

“Selepas membuat penelitian, saya segera mengarahkan kementerian, jabatan atau agensi berkaitan mengambil tindakan susulan bagi memastikan masalah pencemaran sungai itu tidak berpanjangan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Hari Bandaraya Kuching ke-29 di Stadium Perpaduan di sini hari ini.

Semalam, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad dipetik sebagai berkata mengesyorkan Pihak Berkuasa Air Negeri bekerjasama dengan Lembaga Sumber Asli Dan Alam Sekitar Sarawak melakukan tindakan segera bagi mengatasi masalah di 18 sungai yang menjadi sumber air mentah dan dikategorikan sebagai separa tercemar.

Laporan sama juga mengesyorkan Pihak Berkuasa Air Negeri mewartakan semua kawasan tadahan air yang dikenal pasti dalam.usaha mengelak sebarang aktiviti dilarang dijalankan di kawasan terbabit.

58 kawasan tadahan air pula dikenal pasti masih belum diwartakan menyebabkan tindakan penguatkuasaan, pemantauan dan pemulihan tidak dapat dilaksanakan.

Sehingga akhir 2016, pihak berkuasa telah mengenal pasti terdapat 90 buah kawasan tadahan air dan 105 loji rawatan air di seluruh Sarawak dengan keluasan 158,591 kilometer (km) persegi. – dayakdaily.com