25,000 anggota tentera layak mohon program SASAR

Panglima Tentera Darat Malaysia (TDM), Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim (empat,kanan) merakamkan gambar bersama warga tentera ketika Majlis Berbuka Puasa dan Terawih Bersama Warga Divisyen Pertama Infantri Malaysia di Masjid Solahuddin Al-Ayubi, Kem Penrissen di sini, malam tadi. - ATM

KUCHING – Tentera Darat Malaysia (TDM) telah mengenalpasti seramai 25,000 anggotanya yang layak memohon Program 1 Rumah 1 Anggota (SASAR).

Program SASAR telah dilancarkan pada 1 Mac lalu bersempena dengan sambutan Hari TDM Ke-84.

Pinjaman membeli rumah mampu milik menerusi program SASAR itu merupakan antara usaha kerajaan dalam memastikan setiap anggota tentera dapat memiliki kediaman sendiri sebelum mereka bersara.

Panglima TDM, Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim berkata, dengan adanya program seumpamanya, anggota tentera sudah pasti dapat menikmati keselesaan semasa tidak lagi dalam perkhidmatan.

Menurut beliau, bagaimanapun setakat ini belum ada lagi anggota tentera yang layak menyertai SASAR menghantar permohonan mereka bagi mendapatkan pinjaman menerusi program itu.

“Berdasarkan saringan yang kita lakukan sebelum ini, kita telah kenal pasti seramai 25,000 anggota tentera yang layak menerima pinjaman perumahan di bawah SASAR, namun mereka belum lagi memohon.

“Kita berharap dengan adanya program ini, kita dapat melihat 25,000 anggota tentera dapat memiliki rumah sendiri,” katanya ketika ditemui di Kem Penrissen di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, setakat ini beliau sudah diberi taklimat oleh satu syarikat pemaju tentang cadangan membina rumah mampu milik di bawah program itu yang menawarkan harga RM180,000 hingga RM200,000.

Jelasnya, selain Kuala Lumpur, kerajaan juga merancang program itu diperluaskan ke seluruh negara termasuk di Sarawak.

“Buat masa ini, kita tidak menetapkan kouta berapa jumlah rumah dibina di bawah SASAR kerana perlu melihat lokasi dan keluasan tanah yang ada ditawarkan oleh kerajaan di setiap negeri.

“Tetapi, kita akan memastikan rumah yang ditawarkan adalah pada harga yang paling murah kerana tanah untuk program SASAR disediakan di bawah Program Tanah Tentera iaitu tanah yang disediakan oleh kerajaan negeri,” katanya lagi. – dayakdaily.com