Empat jam potong cincin serta gelang yang tersekat

Pasukan bomba akhirnya mengeluarkan cincin serta gelang yang tersekat pada jari serta pergelangan tangan mangsa dengan menggunakan alat pemotong khas - JBPNS

LAWAS – Kesakitan yang ditanggung oleh seorang lelaki selepas cincin serta gelang tangan yang dipakainya tersekat sejak beberapa minggu lalu akhirnya berakhir apabila pasukan bomba berjaya memotong kedua-dua barangan perhiasan tersebut di Hospital Lawas, malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, sebelum itu, mangsa yang berusia 47 tahun telah pergi ke Hospital Lawas untuk mendapatkan bantuan kecemasan bagi mengeluarkan sebentuk cincin pada jari manis serta gelang jenis keluli pada pergelangan tangan kirinya.

Bagaimanapun, selepas gagal menanggalkan kedua-dua barangan perhiasan berkenaan, pihak hospital kemudian menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Lawas untuk mendapatkan bantuan khas memotong cincin serta gelang tangan tersebut.

“Kami menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 7.07 malam sebelum menggerakkan lima anggota bomba ke Hospital Lawas bagi melakukan kerja-kerja khas tersebut.

“Sebaik tiba di hospital, pasukan bomba mendapati bahagian jari manis serta pergelangan tangan mangsa dalam keadaan bengkak dan kebiruan sebelum melakukan operasi khas memotong cincin dan gelang itu.

“Selepas hampir empat jam, pasukan bomba akhirnya mengeluarkan cincin serta gelang yang tersekat pada jari serta pergelangan tangan mangsa dengan menggunakan alat pemotong khas,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Tiong memberitahu, kerja-kerja memotong dilakukan dengan teliti bagi mengelakkan sebarang kejadian lain berlaku.

Katanya, mangsa kemudiannya dirujuk semula kepada pasukan perubatan untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi khas berkenaan tamat sepenuhnya pada pukul 11 malam,” ujarnya lagi. – dayakdaily.com