KL2017: Pasukan bola tampar wanita tidak sasar kutipan pingat

Pasukan bola tampar wanita negara akan mengambil bahagian di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 - dayakdaily.com

SIBU: Pasukan bola tampar wanita negara tidak menyasarkan sebarang kutipan pingat pada Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 yang berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos depan.

Chef De Mission Malaysia, Datuk Marina Chin berkata, matlamat utama pasukan tersebut adalah untuk memperbaiki prestasi peribadi setiap pemain dan sebagai sebuah pasukan.

“Mereka telah berusaha dengan kuat dan semangat yang ditunjukkan adalah tinggi. Sara rasa mereka boleh membanggakan Malaysia,”katanya yang melahirkan rasa kagum dengan prestasi yang ditunjukkan oleh pasukan itu pada masa ini.

Marina berkata demikian kepada media selepas bertemu dengan pasukan bola tampar wanita negara yang menyertai Kejohanan Bola Tampar Jemputan Antarabangsa 2017 di Stadium Bola Tampar Sibu di sini hari ini.

Pasukan wanita Malaysia diletakkan di dalam Kumpulan B bersama Filipina dan Vietnam manakala Myanmar, Thailand dan Indonesia berada di dalam Kumpulan A.

Mengenai kedudukan Malaysia di antara enam pasukan yang bertanding itu, ketua jurulatih pasukan tersebut, Datuk Moh Wung Ming berkata, pasukan wanita negara tidak jauh ketinggalan daripada pasukan Vietnam yang merupakan pasukan kedua terbaik selepas Thailand.

“Buat masa ini, setakat itu sahaja yang dapat saya katakan mengenai pasukan wanita ini. Apa saja keputusannya nanti adalah bergantung kepada prestasi yang ditunjukkan oleh para pemain dan seperti yang dikatakan oleh Datuk Marina, fokus kita bukan kepada pungutan pingat tetapi peningkatan prestasi pemain,”katanya.

Pasukan itu dibarisi empat pemain yang berpengalaman bertanding pada Sukan Sea yang lampau manakala sembilan lagi adalah pemain-pemain muda.

Daripada 13 pemain di dalam pasukan tersebut, empat daripada mereka mempunyai pengalaman bertanding di dalam Sukan Sea manakala selebihnya adalah pemain-pemain muda. – dayakdaily.com