16 PATI ditahan guna lorong tikus melintasi sempadan Malaysia-Indonesia

Kesemua PATI yang ditahan di bawa ke balai polis Tebedu untuk tindakan lanjut - dayakdaily.com

TEBEDU: Batalion Ke-10 Rejimen Renjer Diraja telah berjaya menahan seramai 16 orang Pendatang Tanpa Izin (PATI) yang telah menggunakan lorong tikus sebagai laluan melintasi sempadan Malaysia – Indonesia dalam Operasi Awas pagi tadi.

Jurucakap Divisyen Pertama Infantri Malaysia berkata, dalam operasi pada jam 6 pagi yang diketuai oleh Leftenan Muda Ikram Ishak telah memulakan rondaan di lorong tikus berhampiran Kebun Kampung Entubuh, Tebedu.

“Kita berjaya menahan PATI seramai empat orang wanita dan 12 orang lelaki lingkungan umur 21 hingga 62 tahun,” katanya di sini hari ini.

Katanya, bersama penahanan tersebut turut dirampas sebanyak 17 guni pakaian dan beg tangan terpakai yang cuba diseludup keluar.

“Ke semua PATI tersebut telah dibawa ke balai polis Tebedu untuk serahan kes pada jam 12.28 tengahari,” katanya.

Katanya, PATI yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Sementara Imegresen Semuja di Gedong, Serian pada jam 3.30 petang ini. – dayakdaily.com