Wabak Rabies: Enam pintu masuk sempadan dikawal rapi

Sebanyak enam pos kawalan di sempadan Malaysia dan 59 lagi di Indonesia kini dikawal ketat secara bersama antara pasukan keselamatan kedua-dua negara bagi menyekat kemasukan haiwan pembawa virus rabies atau penyakit anjing gila. - dayakdaily.com

TEBEDU – Sebanyak enam pos kawalan di sempadan Malaysia dan 59 lagi di Indonesia kini dikawal ketat secara bersama antara pasukan keselamatan kedua-dua negara bagi menyekat kemasukan haiwan pembawa virus rabies atau penyakit anjing gila.

Panglima 3 Briged Infantri Malaysia, Brigidier Jeneral Mohd. Bustaman Mat Zin berkata, langkah kawalan ketat itu dilaksanakan selepas pihaknya menerima arahan daripada Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Menurutnya, sebaik menerima arahan itu, beliau telah mengarahkan pasukan tentera yang bertugas di enam pintu sempadan negeri seperti di Badau, Biawak, Tebedu, Entikong, Serikin dan Lubok Antu.

“Mengikut arahan diterima, pasukan tentera dan polis yang bertanggungjawab menjaga sempadan Sarawak-Kalimantan, Indonesia terutama berhampiran kawasan yang dijangkiti virus rabies di Serian harus memastikan tiada anjing dan kucing yang berpotensi membawa virus berbahaya itu terlepas ke populasi manusia.

“Pasukan keselamatan Malaysia juga telah mewujudkan kerjasama dengan rakan sepasukan di Indonesia untuk memperketatkan kawalan di pos sempadan masing-masing iaitu membabitkan enam pos di negeri ini, manakala 59 pos lagi di negara jiran itu,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, langkah kawalan dilakukan termasuklah menahan individu yang membawa haiwan peliharaan seperti anjing dan kucing keluar masuk melalui kedua-dua arah sempadan.

“Setakat ini, kami cuma diminta memantau ketat pintu sempadan, namun belum ada arahan untuk mengkuarantin 19 buah kampung di Serian yang diisytiharkan dijangkiti virus rabies kerana percaya wabak itu masih mampu dikawal,” katanya.

Dayakdaily.com sebelum ini melaporkan dua orang daripada tiga kanak-kanak yang disahkan positif dijangkiti virus rabies meninggal dunia, iaitu dua beradik, Monica Mazlan, 6, dan Jackson, 5, dari Kampung Paon Sungai Rimu. – dayakdaily.com