13 pendaki terkandas di Gunung Singai, seorang patah kaki

BAU – Sekumpulan 13 orang pendaki gunung berdepan detik mencemaskan apabila mereka terkandas selama beberapa jam di Gunung Singai di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, seorang pendaki wanita dilaporkan patah kaki kanannya dipercayai akibat terjatuh.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau, Ebby Herwandy Sarbini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.13 petang.

Menurutnya, berdasarkan laporan diterima, terdapat tujuh pendaki lelaki manakala enam lagi pendaki wanita dikatakan terkandas di gunung tersebut selepas seorang daripada mereka mengalami kecederaan.

“Disebabkan panik, mereka mengambil keputusan untuk menghubungi bomba dan penduduk kampung bagi tindakan seterusnya.

“Sepasukan anggota bomba kemudian dikerahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja menyelamat,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mengulas lanjut, Ebby Herwandy memberitahu,penduduk setempat turut membantu dalam operasi menyelamat kumpulan pendaki tersebut.

Katanya, pendakian menuju ke puncak gunung itu agak sukar disebabkan keadaan yang gelap,namun ia tidak mematahkan semangat pasukan bomba dan penduduk kampung.

“Selepas kira-kira sejam mendaki, pasukan bomba dan penduduk setempat berjaya menemui kumpulan pendaki berkenaan.

“Anggota bomba terus memberikan rawatan kepada seorang mangsa sebelum dia dibawa turun dengan menggunakan alat pengusung,” katanya lagi.

Ebby Herwandy menambah, mereka berjaya sampai di kaki gunung berkenaan pada pukul 9.15 malam.

“Mangsa yang berusia 16 tahun kemudian dibawa ke Hospital Bau untuk tindakan lanjut,” ujarnya.-dayakdaily.com