112 penghuni Uma Badeng, sehelai sepinggang selepas rumah panjang musnah terbakar

Penduduk Uma Badeng bertungkus-lumus untuk cuba memadam kebakaran tersebut, tetapi api merebak dengan cepat menyebabkan 112 penghuninya selehai sepinggang. - JBPNS

BELAGA: Kemeriahan sambutan Hari Gawai Dayak yang diraikan baru-baru ini sudah tidak bermakna lagi buat penduduk yang menetap di Rumah Panjang Uma Badeng, Sungai Asap dekat sini apabila kediaman mereka musnah dijilat api lewat petang semalam.

Kejadian kira-kira pukul 5.35 petang itu telah mengakibatkan 15 buah pintu di rumah panjang masyarakat Kenyah tersebut musnah terbakar.

Difahamkan terdapat seramai 112 penghuni terjejas akibat kebakaran di rumah panjang yang dibina sejak 1997 itu.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada pukul 5.38 petang.

Menurutnya, sejurus menerima laporan insiden itu, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Uma Daro Liling Padung kemudian dikerahkan ke lokasi kejadian bagi melakukan kerja-kerja pemadaman api.

“Kita amat berbangga dengan anggota PBS kerana mereka bertindak pantas mengawal kebakaran itu.

“Meskipun peralatan dan kelengkapan memadam kebakaran tidak mencukupi, anggota PBS bersama-sama penduduk setempat tetap berusaha mengawal api daripada terus merebak,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tiong menambah, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu juga dikerahkan ke lokasi kejadian yang mengambil masa kira-kira dua jam setengah perjalanan dari bandar Bintulu.

Jelas beliau, buat masa ini, tiada laporan kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kejadian tersebut.

“Namun, ada dalam kalangan mangsa yang terjejas tidak sempat menyelamatkan dokumen-dokumen penting serta peralatan rumah mereka kerana kebakaran berlaku dengan pantas.

“Setakat ini dan kesemua mangsa yang terjejas difahamkan menetap di rumah saudara masing-masing sementara waktu,” ujarnya lagi.

Tiong memberitahu, kebakaran itu dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 6.23 petang.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian itu juga masih lagi dalam siasatan,” katanya. – dayakdaily.com